Prioriti Bagi ‘Fresh Graduate Tahfiz’?

Selepas Subuh adalah waktu yang paling ‘afdhal’ untuk tidur. Kerana udaranya yang dingin dan nyaman, yang menyedapkan lagi apabila diselubungi selimut dan diapit bantal kiri dan kanan. Nyaman sungguh! Selamat tinggal kepada aktiviti tersebut .
Dulu-dulu, sebaik sahaja tamat pengajian, ada yang ingin membatalkan hasrat untuk menyambung ke IPT dan bercadang untuk ke pondok bagi mendapatkan syahadah (ulangan 30 juzu’). Tumpang hafalan itu masih ‘suam-suam kuku’, elok diulang terus berbanding menghadapi risiko lain.

Apa prioriti kami?
Suasana di IPT tidak dapat menipu lagi, dengan cabaran sosial, waktu kelas, lambakan aktiviti dan tanggungjawab lain.

“Itu semua alasan!”

Kalau dulunya, berkepit dengan Al-Quran ke hulu dan ke hilir, ke dewan makan, ke kelas, ke mesyuarat, ke program, hinggakan outing ke luar pun Al-Quran tidak terlepas dari tangan.
Kalau dulunya, bersua dengan ajnabi saja sudah tunduk dan jalan cepat-cepat. Kalau ada pilihan, pusing 360° untuk ambil laluan lain. Untuk bertegur sapa secara berdepan apatah lagi. Mesej telefon terlebih titik dan koma saja akan menjadi isu perbahasan dan perang besar dalam mesyuarat!
Kalau dulunya, ada guru tasmi’ (ustaz/ustazah) yang garang, hingga didenda berdiri di luar kelas, di jemur di tengah panas, digantung play card “saya budak lembap”, nama yang lambat muqarrar dipapar di softboard, cukup stress!
Kalau dulunya, orang sebelah kiri dah masuk juzu’ 10, orang sebelah kanan juzu’ 8, orang depan juzu’ 9, kita baru juzu’ 6, semangat betul nak berlumba!

“Itu cerita dulu….”

Cerita sekarang, seawal 7.00 pagi – 7.30 pagi sudah perlu menunggu bas untuk ke kuliah (ini kes bagi IPT yang jarak kolej dan fakulti 10 batu). Selepas Subuh saja perlu mandi dan bersiap-siap supaya tidak berebut bas.
Cerita sekarang, satu beg saja tidak cukup untuk ke kuliah kerana perlu mengangkut segala kamus bahasa campur buku-buku lain dan fail (ini kes bagi pensyarah yang mewajibkan pelajar membawa kamus-kamus bagi kelas bahasa-IPT yang mengutamakan penguasaan ‘bahasa asing’). Kalau bawa Al-Quran belum tentu sempat dibuka, atau mungkin jadi harta karun dalam beg/di tangan.
Cerita sekarang, pensyarah dalam kelas bukan lagi pensyarah ‘idaman’ anda yang akan bertanya, “Siapa tak habis muqarrar lagi?”, “Sekarang dah juzu’ berapa?”. Mereka akan cakap berkisar ‘markah assignment’, ‘tajuk assignment’, ‘pembentangan’ dan lain-lain lagi.
Cerita sekarang, tidak ada orang akan ambil hairan sama ada anda i’adah (mengulang) al-Quran atau tidak. Apa yang orang kisahkan, “Assignment tu dah siap?”, “Dan download lecture note?”, “Dah jumpa buku rujukan?”

CUMA ada satu cerita positif
Bila ditanya, “Saya tak ingat ayat tu. Siapa sini dari DQ?”, “Apa dalil bagi syarat hutang?”, “Ayat ni surah apa?”, dan banyak lagi soalan-soalan menarik yang akan membuatkan jantung para huffaz berdegup kencang.
Ini ceritera rakan dari IPT di Malaysia. Yang menuntut di Timur Tengah, insyaAllah mereka pasti lebih mantap hafazan. Solusi dan penyelesaian? Saya membiarkan jiwa-jiwa yang menanggungnya menjawab sendiri, termasuklah diri saya sendiri sendiri.
Ibn Mas’ud r.a berkata, “Al-Quran adalah pemberi syafa’at yang diberi kuasa syafa’at, pemikul yang akan membela si hamba. Maka sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduannya, ia akan menuntunnya ke syurga. Dan sesiapa yang mengabaikan al-Quran ia akan mengiringnya ke neraka.” 
Kitab at-Tibyan ; Imam an-Nawawi
Wallahu a’lam. 

Bila Nona Menjadi Robot

Ini adalah catatan harian Nona.
Setiap hari selepas solat subuh, Nona akan curi masa untuk tidur paling kurang dalam 30 minit untuk mendapatkan tenaga bagi membantu ibunya menyediakan sarapan pagi. Tetapi kemungkinan ia berlaku hanya 1/10 kerana Nona pasti akan bangun pada jam 10 pagi dan ke atas.
Perkara yang paling memudahkan ibunya pada waktu itu adalah apabila Nona makan untuk dua waktu makan sekaligus iaitu sarapan pagi dan makan tengah hari. Oleh itu, ibunya tidak perlu masak sarapan dan makanan tengah hari secara berasingan. Alangkah Nona seorang anak yang membantu ibunya!
Sebaik jam12.30 tengah hari, Nona berhasrat untuk “qailulah” dalam 10 minit. Bukan apa, khuatir tidak khusyuk untuk solat zohor akibat mengantuk. Alhamdulillah, Nona berjaya juga menunaikan solat Zohor 10 minit sebelum waktu masuk Asar. Sesungguhnya dia memang anak yang solehah kerana tidak meninggalkan solat!
Pada waktu petang, ibu Nona ingin berehat. Beliau berpesan kepada Nona supaya mengangkat baju kerana hari sudah lewat petang. Demi untuk menontot episod akhir telenovela, Nona pun bertangguh. Lalu dalam tempoh 5 minit, semua orang lari lintang-pukang keluar rumah mengangkat pakaian kerana hujan turun secara tiba-tiba. Nona telah berhasil membuat pakaian tersebut diangkat dengan lebih cepat atas bantuan ramai orang berbanding dia mengangkatnya sendirian.
Itulah cebisan catatan harian kehidupan Nona. Robot “hidup” dengan programnya yang statik berdasarkan apa yang diprogramkan. Manusia juga hidup dengan program mereka berdasarkan apa yang mereka mahukan. Jika program manusia sama mendatar setiap hari, lalu apakah bezanya manusia dan robot?
Moralnya di sini, setiap hari kita perlu “upgrade” program hidup masing-masing. Tidak perlu “langkah seribu”, cukuplah setapak asalkan kita istiqamah walau bermula dengan perkara yang kecil.

Kerana Buku Yang Hilang


Usai solat isya' di surau perpustakaan, saya keluar menuju ke arah meja yang diletakkan buku. Lalu hilang dua buah buku yang telah dicari. Hati mula kembang kecut ingin menangis. Kerana dua buah buku yang hilang kerana diambil orang itu adalah rujukan muktabar untuk assignment yang perlu dibentang minggu hadapan.
Kaki melangkah pasrah ke rak buku asal, barangkali pustakawan yang ambil dan letak di tempat asal. Tapi mustahil kerana hanya dua buah buku yang hilang, baki lagi dua buku masih terdapat di atas meja. Entah kenapa hati begitu terkilan atas kehilangan dua buah buku tersebut. Situasi yang agak kelakar.
Lalu saya ketemu satu lagi buku yang sama, hati berasa sedikit lega.  Cumanya buku yang sebuah lagi tulisan HAMKA hanya ada sebuah itu sahaja. Hati cuba bersangka baik, “Mungkin Allah nak bagi aku buku rujukan yang lebih baik”.
Tidak dapat dinafikan kadang-kala kerana benda yang kecil, bisa merosakkan mood seharian. Kemahiran mengawal dan mengurus emosi adalah terletak pada pemilik hati. Sama ada dia memiliki “perisai” yang lengkap dan kuat dalam mendepani situasi-situasi yang menerjah sepintas lalu.

Perkara yang “remeh” jangan biarkan ia musnahkan seluruh waktu yang lain.
 
 
Copyright © Kalam Mumtaz
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com