Prioriti Bagi ‘Fresh Graduate Tahfiz’?

Selepas Subuh adalah waktu yang paling ‘afdhal’ untuk tidur. Kerana udaranya yang dingin dan nyaman, yang menyedapkan lagi apabila diselubungi selimut dan diapit bantal kiri dan kanan. Nyaman sungguh! Selamat tinggal kepada aktiviti tersebut .
Dulu-dulu, sebaik sahaja tamat pengajian, ada yang ingin membatalkan hasrat untuk menyambung ke IPT dan bercadang untuk ke pondok bagi mendapatkan syahadah (ulangan 30 juzu’). Tumpang hafalan itu masih ‘suam-suam kuku’, elok diulang terus berbanding menghadapi risiko lain.

Apa prioriti kami?
Suasana di IPT tidak dapat menipu lagi, dengan cabaran sosial, waktu kelas, lambakan aktiviti dan tanggungjawab lain.

“Itu semua alasan!”

Kalau dulunya, berkepit dengan Al-Quran ke hulu dan ke hilir, ke dewan makan, ke kelas, ke mesyuarat, ke program, hinggakan outing ke luar pun Al-Quran tidak terlepas dari tangan.
Kalau dulunya, bersua dengan ajnabi saja sudah tunduk dan jalan cepat-cepat. Kalau ada pilihan, pusing 360° untuk ambil laluan lain. Untuk bertegur sapa secara berdepan apatah lagi. Mesej telefon terlebih titik dan koma saja akan menjadi isu perbahasan dan perang besar dalam mesyuarat!
Kalau dulunya, ada guru tasmi’ (ustaz/ustazah) yang garang, hingga didenda berdiri di luar kelas, di jemur di tengah panas, digantung play card “saya budak lembap”, nama yang lambat muqarrar dipapar di softboard, cukup stress!
Kalau dulunya, orang sebelah kiri dah masuk juzu’ 10, orang sebelah kanan juzu’ 8, orang depan juzu’ 9, kita baru juzu’ 6, semangat betul nak berlumba!

“Itu cerita dulu….”

Cerita sekarang, seawal 7.00 pagi – 7.30 pagi sudah perlu menunggu bas untuk ke kuliah (ini kes bagi IPT yang jarak kolej dan fakulti 10 batu). Selepas Subuh saja perlu mandi dan bersiap-siap supaya tidak berebut bas.
Cerita sekarang, satu beg saja tidak cukup untuk ke kuliah kerana perlu mengangkut segala kamus bahasa campur buku-buku lain dan fail (ini kes bagi pensyarah yang mewajibkan pelajar membawa kamus-kamus bagi kelas bahasa-IPT yang mengutamakan penguasaan ‘bahasa asing’). Kalau bawa Al-Quran belum tentu sempat dibuka, atau mungkin jadi harta karun dalam beg/di tangan.
Cerita sekarang, pensyarah dalam kelas bukan lagi pensyarah ‘idaman’ anda yang akan bertanya, “Siapa tak habis muqarrar lagi?”, “Sekarang dah juzu’ berapa?”. Mereka akan cakap berkisar ‘markah assignment’, ‘tajuk assignment’, ‘pembentangan’ dan lain-lain lagi.
Cerita sekarang, tidak ada orang akan ambil hairan sama ada anda i’adah (mengulang) al-Quran atau tidak. Apa yang orang kisahkan, “Assignment tu dah siap?”, “Dan download lecture note?”, “Dah jumpa buku rujukan?”

CUMA ada satu cerita positif
Bila ditanya, “Saya tak ingat ayat tu. Siapa sini dari DQ?”, “Apa dalil bagi syarat hutang?”, “Ayat ni surah apa?”, dan banyak lagi soalan-soalan menarik yang akan membuatkan jantung para huffaz berdegup kencang.
Ini ceritera rakan dari IPT di Malaysia. Yang menuntut di Timur Tengah, insyaAllah mereka pasti lebih mantap hafazan. Solusi dan penyelesaian? Saya membiarkan jiwa-jiwa yang menanggungnya menjawab sendiri, termasuklah diri saya sendiri sendiri.
Ibn Mas’ud r.a berkata, “Al-Quran adalah pemberi syafa’at yang diberi kuasa syafa’at, pemikul yang akan membela si hamba. Maka sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduannya, ia akan menuntunnya ke syurga. Dan sesiapa yang mengabaikan al-Quran ia akan mengiringnya ke neraka.” 
Kitab at-Tibyan ; Imam an-Nawawi
Wallahu a’lam. 
 
 
Copyright © Kalam Mumtaz
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com