Selepas Subuh adalah waktu yang
paling ‘afdhal’ untuk tidur. Kerana udaranya yang dingin dan nyaman, yang menyedapkan
lagi apabila diselubungi selimut dan diapit bantal kiri dan kanan. Nyaman
sungguh! Selamat tinggal kepada aktiviti tersebut .
Dulu-dulu, sebaik sahaja tamat
pengajian, ada yang ingin membatalkan hasrat untuk menyambung ke IPT dan bercadang
untuk ke pondok bagi mendapatkan syahadah (ulangan 30 juzu’). Tumpang hafalan
itu masih ‘suam-suam kuku’, elok diulang terus berbanding menghadapi risiko lain.
Apa prioriti kami?
Suasana di IPT tidak dapat menipu
lagi, dengan cabaran sosial, waktu kelas, lambakan aktiviti dan tanggungjawab
lain.
“Itu semua alasan!”
Kalau dulunya, berkepit dengan
Al-Quran ke hulu dan ke hilir, ke dewan makan, ke kelas, ke mesyuarat, ke
program, hinggakan outing ke luar pun Al-Quran tidak terlepas dari tangan.
Kalau dulunya, bersua dengan
ajnabi saja sudah tunduk dan jalan cepat-cepat. Kalau ada pilihan, pusing 360° untuk ambil laluan lain. Untuk bertegur sapa
secara berdepan apatah lagi. Mesej telefon terlebih titik dan koma saja akan
menjadi isu perbahasan dan perang besar dalam mesyuarat!
Kalau dulunya, ada guru tasmi’ (ustaz/ustazah)
yang garang, hingga didenda berdiri di luar kelas, di jemur di tengah panas,
digantung play card “saya budak lembap”, nama yang lambat muqarrar dipapar di
softboard, cukup stress!
Kalau dulunya, orang sebelah kiri
dah masuk juzu’ 10, orang sebelah kanan juzu’ 8, orang depan juzu’ 9, kita baru
juzu’ 6, semangat betul nak berlumba!
“Itu cerita dulu….”
Cerita sekarang, seawal 7.00 pagi
– 7.30 pagi sudah perlu menunggu bas untuk ke kuliah (ini kes bagi IPT yang
jarak kolej dan fakulti 10 batu). Selepas Subuh saja perlu mandi dan
bersiap-siap supaya tidak berebut bas.
Cerita sekarang, satu beg saja
tidak cukup untuk ke kuliah kerana perlu mengangkut segala kamus bahasa campur
buku-buku lain dan fail (ini kes bagi pensyarah yang mewajibkan pelajar membawa
kamus-kamus bagi kelas bahasa-IPT yang mengutamakan penguasaan ‘bahasa asing’).
Kalau bawa Al-Quran belum tentu sempat dibuka, atau mungkin jadi harta karun
dalam beg/di tangan.
Cerita sekarang, pensyarah dalam
kelas bukan lagi pensyarah ‘idaman’ anda yang akan bertanya, “Siapa tak habis
muqarrar lagi?”, “Sekarang dah juzu’ berapa?”. Mereka akan cakap berkisar ‘markah
assignment’, ‘tajuk assignment’, ‘pembentangan’ dan lain-lain lagi.
Cerita sekarang, tidak ada orang
akan ambil hairan sama ada anda i’adah (mengulang) al-Quran atau tidak. Apa yang
orang kisahkan, “Assignment tu dah siap?”, “Dan download lecture note?”, “Dah
jumpa buku rujukan?”
CUMA ada satu cerita positif
Bila ditanya, “Saya tak ingat
ayat tu. Siapa sini dari DQ?”, “Apa dalil bagi syarat hutang?”, “Ayat ni surah
apa?”, dan banyak lagi soalan-soalan menarik yang akan membuatkan jantung para
huffaz berdegup kencang.
Ini ceritera rakan dari IPT di
Malaysia. Yang menuntut di Timur Tengah, insyaAllah mereka pasti lebih mantap
hafazan. Solusi dan penyelesaian? Saya membiarkan jiwa-jiwa yang menanggungnya
menjawab sendiri, termasuklah diri saya sendiri sendiri.
Ibn Mas’ud r.a berkata, “Al-Quran adalah pemberi syafa’at yang diberi kuasa syafa’at, pemikul yang akan membela si hamba. Maka sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduannya, ia akan menuntunnya ke syurga. Dan sesiapa yang mengabaikan al-Quran ia akan mengiringnya ke neraka.”
Kitab at-Tibyan ; Imam an-Nawawi
Wallahu a’lam.