Bila Nona Menjadi Robot

Ini adalah catatan harian Nona.
Setiap hari selepas solat subuh, Nona akan curi masa untuk tidur paling kurang dalam 30 minit untuk mendapatkan tenaga bagi membantu ibunya menyediakan sarapan pagi. Tetapi kemungkinan ia berlaku hanya 1/10 kerana Nona pasti akan bangun pada jam 10 pagi dan ke atas.
Perkara yang paling memudahkan ibunya pada waktu itu adalah apabila Nona makan untuk dua waktu makan sekaligus iaitu sarapan pagi dan makan tengah hari. Oleh itu, ibunya tidak perlu masak sarapan dan makanan tengah hari secara berasingan. Alangkah Nona seorang anak yang membantu ibunya!
Sebaik jam12.30 tengah hari, Nona berhasrat untuk “qailulah” dalam 10 minit. Bukan apa, khuatir tidak khusyuk untuk solat zohor akibat mengantuk. Alhamdulillah, Nona berjaya juga menunaikan solat Zohor 10 minit sebelum waktu masuk Asar. Sesungguhnya dia memang anak yang solehah kerana tidak meninggalkan solat!
Pada waktu petang, ibu Nona ingin berehat. Beliau berpesan kepada Nona supaya mengangkat baju kerana hari sudah lewat petang. Demi untuk menontot episod akhir telenovela, Nona pun bertangguh. Lalu dalam tempoh 5 minit, semua orang lari lintang-pukang keluar rumah mengangkat pakaian kerana hujan turun secara tiba-tiba. Nona telah berhasil membuat pakaian tersebut diangkat dengan lebih cepat atas bantuan ramai orang berbanding dia mengangkatnya sendirian.
Itulah cebisan catatan harian kehidupan Nona. Robot “hidup” dengan programnya yang statik berdasarkan apa yang diprogramkan. Manusia juga hidup dengan program mereka berdasarkan apa yang mereka mahukan. Jika program manusia sama mendatar setiap hari, lalu apakah bezanya manusia dan robot?
Moralnya di sini, setiap hari kita perlu “upgrade” program hidup masing-masing. Tidak perlu “langkah seribu”, cukuplah setapak asalkan kita istiqamah walau bermula dengan perkara yang kecil.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © Kalam Mumtaz
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com