Ini adalah catatan harian Nona.
Setiap hari selepas solat subuh, Nona
akan curi masa untuk tidur paling kurang dalam 30 minit untuk mendapatkan
tenaga bagi membantu ibunya menyediakan sarapan pagi. Tetapi kemungkinan ia
berlaku hanya 1/10 kerana Nona pasti akan bangun pada jam 10 pagi dan ke atas.
Perkara yang paling memudahkan
ibunya pada waktu itu adalah apabila Nona makan untuk dua waktu makan sekaligus
iaitu sarapan pagi dan makan tengah hari. Oleh itu, ibunya tidak perlu masak
sarapan dan makanan tengah hari secara berasingan. Alangkah Nona seorang anak
yang membantu ibunya!
Sebaik jam12.30 tengah hari, Nona
berhasrat untuk “qailulah” dalam 10 minit. Bukan apa, khuatir tidak khusyuk
untuk solat zohor akibat mengantuk. Alhamdulillah, Nona berjaya juga menunaikan
solat Zohor 10 minit sebelum waktu masuk Asar. Sesungguhnya dia memang anak
yang solehah kerana tidak meninggalkan solat!
Pada waktu petang, ibu Nona ingin
berehat. Beliau berpesan kepada Nona supaya mengangkat baju kerana hari sudah
lewat petang. Demi untuk menontot episod akhir telenovela, Nona pun bertangguh.
Lalu dalam tempoh 5 minit, semua orang lari lintang-pukang keluar rumah
mengangkat pakaian kerana hujan turun secara tiba-tiba. Nona telah berhasil
membuat pakaian tersebut diangkat dengan lebih cepat atas bantuan ramai orang
berbanding dia mengangkatnya sendirian.
Itulah cebisan catatan harian
kehidupan Nona. Robot “hidup” dengan programnya yang statik berdasarkan apa
yang diprogramkan. Manusia juga hidup dengan program mereka berdasarkan apa
yang mereka mahukan. Jika program manusia sama mendatar setiap hari, lalu
apakah bezanya manusia dan robot?
Moralnya di sini, setiap hari
kita perlu “upgrade” program hidup masing-masing. Tidak perlu “langkah seribu”,
cukuplah setapak asalkan kita istiqamah walau bermula dengan perkara yang
kecil.